Jumaat, 3 April 2009

Perdana Menteri keenam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.


Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Najib mengikut jejak allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein, yang menerajui negara dari tahun 1970 sehingga 1976, apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia.


Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.


Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat.

Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Acara penuh istiadat itu bermula apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat memasuki Balairong Seri pada jam 10.05 pagi.

Upacara dimulakan dengan lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia oleh Najib sebagai Perdana Menteri dimulakan pada jam 10.10 pagi.

Najib kemudian membaca ikrar mengangkat sumpah taat setia serta menyimpan rahsia sebelum menandatangani keempat-empat Suratcara Pelantikan, diikuti dengan bacaan doa selamat.

Keempat-empat Suratcara Pelantikan itu kemudiannya ditandatangani oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebagai saksi yang kemudiannya diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...