Selasa, 14 April 2009

Melihat Ke Dalam Rumah

Hari ini sekiranya sesebuah rumah dipasang tabir / lansir di depan pintu rumah tersebut, maka ianya dianggap bukanlah cara menghiasi rumah dengan sempurna. Malah telah menjadi tradisi masyarakat kita setiap pintu dan tingkap akan dibuka berlebih lagi di awal pagi dengan menyangka bahawa rezeki akan masuk ke rumah berkenaan. Sikap dan kepercaan sebegini lansung tidak bersabit dari Al Quran dan Hadis Nabi saw.

Sesetengahnya pula akan meletakkan kain tingkap yang terlalu nipis sehingga mana-mana orang yang melalui di hadapan rumah berkenaan pastinya akan dapat melihat dengan jelas seluruh keadaan di dalam rumah tersebut. Cara sebegini jelas bertentangan dengan kehendak syariat.

Ini bersabit dari sabdaan Nabi saw :

Dari Sauban ra berkata, telah bersabda Rasulullah saw , “ … Dan janganlah kamu melihat ke dalam sesuatu rumah sebelum kamu meminta izin ( dari tuannya ) Dan jika kamu berbuat demikian maka sesungguhnya kamu telah pun memasuki ke dalamnya….”
( Hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah )


Juga Sabdaan Rasulullah saw :

“Tidak halal bagi sesaorang muslim yang mana ia melihat ke dalam rumah saudara muslimnya melainkan dengan izinnya. Maka jika ia telah melihat sesungguhnya ia telah merubek perjanjian” ( Abu Lait Samarkandi : Tanbihul Ghafilin )

Dari kedua hadis di atas menunjukan kepada kita dua larangan. Yang pertama melarang untuk melihat ke dalam mana-mana rumah selain rumah-rumah kita melainkan dengan izin saudara muslim kita. Yang kedua memelihara rumah kita agar tidak dilihat oleh mereka-mereka yang bukan mahram kita.

Untuk ini mana-mana orang yang mahu berjumpa sesaorang yang berada di dalam rumah berkenaan semistinyalah jangan melihat dan mengintai ke dalam rumah berkenaan. Perkara ini sering berlaku di dalam masyarakat kita sehingga perkara ini sudah menjadi kebiasaan. Larang ini ditentukan oleh syariat adalah kerana ketika berada di dalam rumah, sudah tentulah ahli keluarga berkenaan tidak akan memelihara aurat dengan sempurna. Ini juga agar maruah keluarga berkenaan tidak tercemar selain yang melihat itu mendapat dosa.

Dalam hal ini Al Quran sendiri mengarahkan untuk meminta izin sebagai mana firman Allah swt :

“ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu sekelian memasuki sesuatu rumah selain rumah dari rumah-rumah kamu sehingga kamu sekelian meminta izin dan memberi salam kepada ahlinya (ahli rumah berkenaan ).Yang demikian itu adalah lebih baik agar kamu sekelian mengingatinya.” ( An-Nur : 27 )

Seterusnya bagi memelihara mahram kita agar terpelihara aurat mereka, maka kain tabir/langsir yang tebal perlu di pasang di pintu utama sebagaimana yang tercatit di dalam lembaran sejarah sifat rumah Nabi saw dan Sahabat rahum. Ini juga termasuk kain langsir tingkap selain sebagai penghias rumah juga hendaklah dipastikan bahawa ianya tidak nipis sehingga boleh nampak bahagian dalam rumah berkenaan jika dilihat dari luar.

Atas dasar ini jugalah telah ditentukan bahawa mana-mana rumah yang menerima Jemaah Masturat ( Jemaah Tabligh yang bersama dengan isteri dan mahram ), maka hal yang sedemikian perlu dijagai. Tapi sayangnya sesetengah rumah berkenaan hanya berbuat demikian ketika kedatangan Jemaah Masturat sahaja. Sepatutnya setiap rumah orang Islam perlu berbuat demikian di sepanjang masa.

Perlu diingatkan kepada karkun-karku yang melaksanakan amalan 'Jaulah' ( Ziarah/ Gasht ), hendaklah dipastikan bahawa jangan melihat kedalam mana-mana rumah. Hendaklah berada di kiri atau kanan rumah berkenaan.

Ini bersabit dari hadis Nabi saw :

Dari Abdullah bin Busrin ra, ia berkata ,”Ketika Rasulullah saw tiba disalah satu pintu suatu keluarga dan baginda meminta izin ( untuk masuk ke dalam atau untuk berjumpa sesaorang ), baginda tidak akan berdiri ( ketika menunggu ) di hadapan pintunya tetapi baginda akan berada di sebelah kanan atau kiri pintu berkenaan lalu memberi salam Dengan “Assalamualaikum ! Assalamualaikum !” Sebabnya pada ketika itu belum ada perintah menutup ‘satur’ ( tabir / hijab ) di pintu.” ( Riwayat Abu Daud )

Bagi kaum ibu perlulah diperhatikan bahawa setiap pintu dan tingkap rumah kita sentiasa bertabir dengan kain yang tebal yang tidak nampak bahagian dalam rumah berlebih lagi pada waktu malam.

Wallahu’alam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...