Rabu, 11 Mac 2009

Misteri Orang Asli


Akta 134 adalah satu-satunya perundangan yang khusus bagi masyarakat Orang Asli.
Asas Akta 134 dilandaskan pada 'The Aboriginal Tribes Enactment 1939’ yang diumumkan melalui warta kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan juga melalui warta-warta Kerajaan Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dalam tahun 1939. Semenjak dikeluarkan pada 1954, Akta 134 telah pinda sebanyak tiga kali, ia itu dalam tahun 1958, tahun 1967 dan tahun 1974.
Dari segi tujuannya, Akta 134 dinyatakan sebagai suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli di Semenanjung Malaysia (dalam Akta disebut Malaysia Barat).
Difahamkan bahawa JOA merujuk kepada Akta 134 dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Skop Akta 134
Perkara-perkara yang disentuhi oleh Akta 134 serta seksyen-seksyen yang berkaitan adalah seperti disenaraikan di bawah ini :-
Perkara Seksyen
i) Takrif bagi Orang Asli

3
ii) Pentadbiran Orang Asli & Perlantikan Persuruhjaya Orang Asli & Timbalan-Timbalannya

4 & 5
iii) Tanah & Pampasan 6 - 13
iv) Larangan memasuki/berada di dalam kawasan/rizab Orang Asli & memindahkan orang yang tidak diingini dari kawasan/rizab Orang Asli
14 & 15
v) Perlantikan ketua Orang Asli 16
vi) Hak Orang Asli terhadap pendidikan 17
vii) Larangan mengambil kanak-kanak Orang Asli sebagai anak angkat.
18
viii) Pentadbiran – kuasa Menteri membuat peruntukan-peruntukan bagi melaksanakan maksud-maksud akta ini.
19
Seksyen 1 adalah seksyen tajuk ringkas dan pemakaian Akta 134 manakala seksyen 2 mengandungi tafsiran-tafsiran terhadap istilah-istilah yang digunakan dalam akta tersebut.

Kelemahan Akta 134 dan Perlunya Pindaan
Akta 134 sering dikritik sebagai suatu akta yang mempunyai banyak kelemahan. Antara kelemahan-kelemahan yang umum termasuklah (kelemahan-kelemahan spesifik terhadap seksyen-seksyen tertentu disenaraikan dibahagian yang berikut) :-
i) Akta 134 lebih bersifat mengawal Orang Asli – dari segi menentukan cara hidup, status dan masa depan Orang Asli.
ii) Tiada peruntukan bagi Orang Asli menentukan perihal mereka sendiri – ini berlawanan dengan deklarasi/konvesyen hak asasi manusia.
iii) Tiada peruntukan bagi mewajibkan pihak yang berwajib untuk bertindak, khususnya bagi maksud-maksud yang boleh mendatangkan manafaat kepada Orang Asli.
iv) Terdapat peruntukan-peruntukan yang membawa interpretasi bahawa Orang Asli adalah masyarakat yang statik dan anti pembangunan. Jesteru itu, kehadiran peruntukan-peruntukan tersebut menyukarkan perlaksanaan inisiatif bagi pembangunan Orang Asli.
v) Tidak mengambilkira kompleksiti-kompleksiti kedudukan, cara hidup Orang Asli dsbnya.
vi) Terdapat kekeliruan dari segi maksud dalam beberapa peruntukan. Juga, terdapat percanggahan diantara peruntukan-peruntukan dalam akta ini dengan peruntukan-peruntukan dalam akta-akta lain – ini mendatangkan masalah perlaksanaan.
Kelemahan-kelemahan ini telah menyukarkan penyempurnaan tujuan tujuan Akta 134 ia-itu memberi perlindungan, kesentosaan dan kemajuan Orang Asli.
Jesteru itu, Akta 134 hendaklah disemaksemula dan pindaan-pindaan yang sesuai dibuat. Keperluan pindaan tersebut semakin terdesak pada hari ini memandangkan keupayaan Orang Asli untuk memelihara kepentingan-kepentingan mereka semakin tercabar akibat perkembangan-perkembangan yang berlaku di persekitaran mereka dan juga dalam negara. Disamping itu, pindaan tersebut juga diperlukan supaya perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat Orang Asli dapat diakomodasikan dan pencapaian kehendak-kehendak Orang Asli, khususnya dalam aspek pembangunan, dipermudahkan.
Harus ditegaskan di sini bahawa Akta 134 juga mengandungi peruntukan-peruntukan yang positif – yang menjadi masalah mungkinlah dari segi penguatkuasaannya oleh pihak yang berwajib. Semestinya, peruntukan-peruntukan ini perlu dikekalkan.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...