Beramal Dengan Ajaran Rasulullah SAW
Muslimin sidang jumaat sekalian!
Marilah kita menyedari betapa besarnya rahmat Allah SWT yang dikurniakan kepada manusiadaripada kelahiran Rasulullah SAW, sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quranul Karim yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami utuskan engkau ya Muhammad, melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam.”
Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, manusia berada di dalam penderitaandan kezaliman walaupun pada masa itu sudah wujud negara-negara yang dikatakan bertamadunseperti Parsi, Rom, India dan China.
Di dalam negara-negara ini wujud penderitaan, penindasan, kezaliman dan perhambaan sesama manusia. Orang kaya menindas golongan miskin dan orang yang berkuasa memperhambakan golongan rakyat biasa. Walaupun pada masa itu ada dua agama yang didakwa berasal daripada rasul-rasul yang terdahulu iaitu agama Yahudi dan Nasrani, tetapi di dalamnya penuh dengan penyelewengan.
Lebih malang lagi apabila golongan agama kemudian bergabung dengan golongan berkuasa untuk meminda ajaran rasul-rasul yang terdahulu bertujuan mendapat habuan kebendaan dunia dan mengabdikan sesama manusia di atas nama agama. Mereka meminda hukum Allah SWT mengikut hawa nafsu.
Ulama yang benar-benar beramal dengan ajaran para rasul terpaksa mengasingkan diri beruzlah membawa agama lari daripada masyarakat yang rosak. Mereka yang benar-benar beramal dengan ajaran Allah SWT ini menunggu-nunggu saat kelahiran Rasulullah SAW, nabi dan rasul akhir zaman yang dijanjikan oleh Allah SWT yang menjadi penyelamat kepada manusia.
Muslimin sekalian!
Berita kelahiran nabi Muhammad SAW telah diwahyukan oleh Allah SWT kepada para nabi dan rasul terdahulu sebelum datangnya Nabi Muhammad SAW dan rasul-rasul tersebut menceritakan perkara ini kepada umat manusia. Perkara ini diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Quranul Karim dengan firman-Nya yang bermaksud:
"Orang-orang yang Kami berikan kepada mereka kitab, mengenali Nabi Muhammad SAW sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri."
"Dan sebahagian daripada mereka menyembunyikan kebenaran sedangkan mereka mengetahui."
Nabi Isa AS sendiri memberitahu berita kedatangan Rasulullah SAW kepada umatnya. Ini bermakna penganut agama Nasrani telahpun mengetahui Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan ketika Isa bin Maryam berkata: 'Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku adalah rasulullah yang diutuskan kepada kamu, untuk membenarkan kitab Taurat yang berada di hadapanku dan memberi khabar berkenaan seorang rasul yang datang selepasku bernama Ahmad - yakni Muhammad."
Muslimin sekalian!
Allah SWT telah meletakkan persiapan yang paling baik sejak beribu-beribu tahun dahulu untuk dilahirkan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT memilih secara khusus seorang nabi yang bergelar Khalilul Rahman (kekasih Allah) iaitu nabi Ibrahim AS supaya membuka Makkah sebuah lembah yang disifatkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai lembah yang kering kontang, tidak ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan dan tidak didiami oleh manusia dan haiwan.
Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim AS meninggalkan isteri dan anaknya di Makkah dan daripada zuriat merekalah lahirnya Nabi Muhammad SAW. Nabi Ibrahim AS berdoa kepada Allah SWT supaya menghidupkan bumi Makkah sebagaimana tersebut di dalam al-Quranul Karim yang bermaksud:
"Dan ketika Nabi Ibrahim berdoa: 'Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini sebuah negeri yang aman tenteram dan kurniakanlah kepada penduduknya buah-buahan, daripada orang yang beriman di kalangan mereka kepada Allah dan hari Akhirat."
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang kufur, maka Aku memberi juga kepadanya sedikit di dunia kemudian pada hari Akhirat, Aku masukkannya ke dalam Api Neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."
Kemudian Nabi Ibrahim AS berdoa lagi yang bermaksud:
"Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka yang membaca kepada mereka ayat-ayat Engkau, mengajar kepada mereka kitab dan hikmat dan membersihkan mereka daripada kekotoran Syirik dan dosa, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Itulah persediaan untuk menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW. Apabila Rasulullah SAW memulakan dakwah mengajak manusia kembali menyembah Allah SWT, maka orang yang waras akalnya dapat menerima Islam dengan mudah tanpa apa-apa bantahan, termasuklah ulama'-ulama' Yahudi dan Nasrani yang benar-benar berpegang dengan ajaran rasul-rasul mereka.
Muslimin sekalian!
Apa yang berlaku cukup menyedarkan kita betapa besarnya nikmatnya kedatangan Rasulullah SAW dan betapa bernilainya menjadi orang Islam. Hendaklah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana mengutuskan Rasulullah SAW dengan cara beramal menurut ajaran Rasulullah SAW iaitu Islam di dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara dan berjihad memperjuangkannya.
Menjadi adat ummat Islam pada bulan Rabi'ul Awal setiap tahun umat Islam mengadakan majlis memperingati Rasulullah SAW dengan berbagai-bagai acara, sedangkan Allah SWT tidak memerintahkan mereka mengadakan majlis-majlis seperti itu dan Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mengadakan majlis memperingati hari kelahirannya. Apa yang diwajibkan kepada umat Islam hanyalah beramal dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Jika tidak beramal dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sedangkan hari kelahirannya disambut dengan meriah dan berwarna-warni, maka itu semua mengada-adakan sahaja dan tidak memberi apa-apa faedah.
Majlis itu adalah pembohongan sahaja kepada diri sendiri, kepada masyarakat dan kepada Allah SWT.
Marilah kita menjadi orang yang ikhlas kepada Rasulullah SAW dengan cara beramal dengan ajarannya dan berjihad memperjuangkannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada kamu, diri Rasulullah itu ikutan yang baik, bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari Akhirat dan ingatlah Allah banyak- banyak."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan