Jika kita dapat bersama Saiyidina Bilal RA, mungkin kita akan dapat mendengar bagaimana Bilal RA memerikan betapa manis dan lazatnya iman, sehingga semasa batu yang besar dihimpitkan ke dadanya, hati dan mulutnya masih tega menyatakan, “Ahad! Ahad!”. Kita tidak dapat mengecapi kemanisan yang dirasai oleh Khansa’ R.HA ketika diberitahu kepadanya berita tentang kesyahidan kempat-empat puteranya, lalu berkata, “Segala puji bagi Allah, yang telah menjadikan aku ibu kepada empat orang syuhada”. Alam rasa adalah alam yang amat dalam. Kesannya melampaui alam nyata.
Allah berfirman di dalam Ayat 31 Surah Aali ‘Imran:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Imam Ibnu Kathir memberikan komentarnya mengenai ayat ini, “Yakni, akan terhasil bagi kamu melebihi apa yang kamu harapkan, iaitu daripada kasih kamu kepada Nya, kepada kasih-Nya kepada kamu; sedangkan ia (yakni kasih Allah kepada kamu) adalah lebih agung berbanding (perkara) yang pertama tadi (yakni kasih kamu kepada Allah). Sebagaimana kata sebahagian ulamak lagi hukamak: Bukanlah perkara yang hebat kamu mengasihi, tetapi perkara yang hebat itu ialah kamu dikasihi!”
Maka untuk Ittiba’ Rasulullah SAW, dengan penuh minat dan cinta, kita cuba semampu yang mungkin mengikuti tiga P yang ada pada Rasulullah SAW: Paparan, Perjalanan dan Perasaan Rasulullah SAW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan