Sabtu, 11 Julai 2009

ijtimak

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

NILAI 10 Julai - Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini mencatat sejarah tersendiri apabila lebih 200,000 jemaah menunaikan solat Jumaat.

Kehadiran ratusan ribu jemaah itu merupakan sebahagian besar umat Islam dari seluruh dunia yang hadir sempena Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia yang berlangsung selama tiga hari berhampiran masjid berkenaan.

Turut sama menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Mohamad dalam ucapan ringkasnya sebelum khutbah Jumaat berkata, beliau mengalu-alukan kehadiran jemaah tabligh ke negeri ini yang berhimpun dengan satu entiti untuk menyebarkan syiar Islam.

''Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan selamat datang dan terima kasih. Saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama-sama jemaah Tabligh dan berharap perhimpunan ini akan dapat meneruskan dakwah Islam kepada seluruh umat.

''Malaysia sebuah negara yang aman dan mengamalkan sikap terbuka dalam soal agama. Perhimpunan ini adalah bukti bahawa kebebasan untuk berdakwah, tidak seperti negara lain yang tidak bebas untuk menjalankan penyebaran agama Islam," katanya.

Mohamad berkata, solat Jumaat yang berlangsung di sini dengan kehadiran jemaah lebih 200,000 orang merupakan terbesar di Malaysia sekali gus menunjukkan kekuatan umat Islam sejagat.

Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia ini menghimpunkan jemaah daripada China, India, Pakistan, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan sebagainya.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di lokasi ijtimak mendapati ratusan ribu umat Islam berpusu-pusu mengerjakan solat Jumaat dan keadaan menjadi sesak apabila mereka beredar meninggal masjid untuk kembali ke khemah yang disediakan berhampiran masjid berkenaan.

Kehadiran jemaah tabligh ini juga antara lain melibatkan aktiviti keagamaan seperti perbincangan, syarahan dan pengajian ilmu.

Dalam pada itu Ali @ Ma Jian Ming, 24, seorang jemaah China dari wilayah Ninsha berkata, dia akan berada di ijtimak ini selama 10 hari dan hadir bersama-sama 200 jemaah tabligh dari negaranya.

Syamsuri Tumirin, 24, jemaah dari Jawa Timur, Indonesia pula menjelaskan, perhimpunan ini mendidik dan mengajar beliau menjadi seorang muslim yang memahami ajaran Islam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...