Sabtu, 11 Julai 2009

berita 2

pemimpin kumpulan Tabligh diseru satu padu ummah


NILAI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini meluangkan masa melawat Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Tabligh Sedunia di kawasan lapang berhampiran Masjid Kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Beliau tiba pada kira-kira jam 1.30 petang dan sejurus tiba beliau dibawa ke sebuah khemah khas berhawa dingin dan kemudian diberi taklimat oleh ahli Syura Malaysia, Sheikh Mohamad Sheikh Ali mengenai perhimpunan itu.

Beliau kemudian menunaikan solat Zohor bersama ratusan ribu jemaah. Selesai solat dan sebelum beredar pulang pada kira-kira jam 2.15 petang, beliau sempat bersalam-salaman dan beramah mesra dengan jemaah.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Muhyiddin berkata, beliau sudah berjumpa dengan pemimpin kumpulan perhimpunan tabligh tersebut dan menyeru mereka supaya sentiasa mementingkan soal kecintaan kepada agama, semangat perpaduan ukhwah Islamiah serta bersikap sederhana dan berusaha untuk menyatupadukan ummah.

"Perhimpunan kumpulan Tabligh ini adalah yang terbesar dan Alhamdulillah, saya bersyukur dapat bersama kumpulan itu pada hari ini," katanya ringkas.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 200,000 jemaah dari 40 buah negara itu bermula Rabu lalu dan berakhir esok.

Perhimpunan itu adalah kali kedua diadakan di Malaysia selepas 27 tahun.

Kali pertama Malaysia sebagai tuan rumah perhimpunan itu, ia diadakan di Terengganu. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...