Ahad, 12 Julai 2009

Ijtimak perkukuhkan dakwah Islamiah - TPM

NILAI 11 Julai - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluangkan masa selama 45 minit bersama lebih 200,000 jemaah sempena Ijtimak (Perhimpunan) Dakwah Talbigh Sedunia yang berlangsung di sini sejak 8 Julai lalu.

Beliau yang tiba di lokasi berkenaan pada pukul 1.25 petang terlebih dahulu mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin tabligh selain diberi taklimat oleh Ahli Syura' Tabligh Malaysia, Sheikh Muhammad Sheikh Ali di khemah tetamu.

Muhyiddin kemudiannya bersama-sama pemimpin berkenaan dan ratusan ribu jemaah tabligh mengerjakan solat zuhur di pekarangan khemah yang disediakan sebelum bersalaman dengan mereka sebelum meninggalkan lokasi ijtimak berkenaan.

Ketika ditemui pemberita selepas itu Muhyiddin berkata, ia merupakan perhimpunan tabligh sedunia yang besar dan beliau hadir untuk melihat dan bersama-sama jemaah di sini.

''Saya sudah berjumpa dengan pemimpin mereka dan diberi penjelasan bahawa ijtimak ini dilangsungkan untuk membicarakan ilmu dan berkaitan agama.

''Ia juga bertujuan menzahirkan semangat perpaduan dan memperkukuhkan dakwah Islamiah. Mereka bersikap sederhana dalam banyak hal.

'Saya bersyukur dapat bersama-sama jemaah talbigh, sembahyang berjemaah dan paling penting mereka juga berusaha menyatupadukan ummah," katanya.

Tinjauan Mingguan Malaysia di lokasi ijtimak hari ini mendapati kehadiran jemaah terus meningkat dan kesemua khemah yang disediakan termasuklah untuk tujuan sembahyang dipenuhi ratusan ribu jemaah tabligh.

Sebahagian besar daripada mereka yang ditemui memberitahu, terpaksa menyewa hotel-hotel berdekatan kerana lokasi sedia ada tidak lagi mampu menampung kebanjiran ratusan ribu jemaah dari seluruh pelosok dunia.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...