Sabtu, 28 Februari 2009

PANTASNYA DETIK MASA BERLALU......

Muqaddimah
Masa berlalu dengan cepat , secepat awan di langit dan selaju tiupan angin. Masa dirasakan berlalu begitu pantas sekali, Cuma apabila berlakunya kesedihan atau kedukaan seseorang itu merasakan masa terlalu lambat. Tetapi pada hakikatnya semua perjalanan masa itu sama sahaja. Untung rugi seseorang itu bergantung kepada kebijaksanaan mereka dalam menggunakan masa. Penggunaan masa kepada perkara-perkara yang berfaedah selaras dengan tuntutan Ilahi. Sepertimana firman Allah, maksudNya:
“ Demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”
Surah al-Asr ayat 1-3
Demikianlah pesanan Allah S.W.T di dalam al-Quran sebagai panduan dan pegangan setiap mukmin agar mereka memenuhi seluruh waktu hidup mereka dengan amalan-amalan kebaikan iaitu saling ingat mengingat agar mentaati kebenaran dan sentiasa berada di dalam kesabaran apabila menghadapi ujian-ujian perjuangan dalam kehidupan di dunia ini.

Pandangan al-Quran dan al-Sunnah Terhadap Masa

Al-Quran dan al-Sunnah sangat menitik beratkan tentang isu masa dan waktu. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Dan Dia (Allah) yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pengajaran atau orang yang bersyukur”
Surah Luqman: Ayat 62
Tujuan Allah S.W.T menjadikan malam dan siang silih berganti supaya manusia membahagi dan merancang masa perkhidmatan mereka dengan sistematik. Ini adalah kerana orang yang bijak membahagikan masa merupakan ciri-ciri orang yang berjaya.
Demi pentingnya masa, banyak ayat al-Quran yang mengutarakan tentang Allah bersumpah dengan masa.Sebagai contoh:
“Demi malam apabila terang benderang”
Surah al-Lail: ayat 1-2
“Demi fajar dan malam yang sepuluh”
Surah al-Fajr: Ayat 1-2
“Demi waktu Dhuha”
Surah ad-Dhuha:Ayat 1
Menurut ulama-ulama tafsir , Allah bersumpah dengan nama-nama masa dan hari itu adalah bertujuan untuk menerangkan kepada manusia betapa bernilainya masa dalam kehidupan manusia.
Hadis-hadis nabi S.A.W turut menjelaskan tentang kepentingan masa. Berhubung dengan masa , semua manusia akan disoal-jawab di hadapan Allah S.W.T. di hari qiamat kelak. Semua manusia akan ditanya tentang beberapa perkara. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Setiap hamba di hari qiamat tidak akan dapat mengorak langkah menuju kemana-mana, selagi dia belum selesai ditanya tentang empat perkara:-
1. Tentang umur, dimanakah dihabiskan sewaktu di dunia
2. Di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu
3. Tentang harta dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya
4. Tentang ilmunya apakah dia beramal dengan ilmunya.

Kewajipan Muslim Terhadap Masa
Tugas utama yang dipikul oleh setiap orang Islam ialah menjaga masa. Masa perlu diberi perhatian lebih dari harta benda. Setiap detik perjalanan masa perlu diawasi supaya dimanfaatkan untuk kebaikan dunia dan akhirat. Sepertimana ungkapan Hasan al-Basri : “ saya melihat suatu kaum yang sangat-sangat menjaga masa hingga melebihi dari kamu menjaga wang ringgit kamu itu”
Generasi para sahabat juga terlalu berwaspada tentang masa. Setiap masa mereka penuh dengan pengisian amal dan kerjabuat yang berguna samada memperbaiki diri atau pun membantu orang lain.Sehinggakan tiada ruang dalam kehidupan mereka diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Orang yang membuang masa tanpa dimanfaatkan untuk dirinya sediri, masyarakat sekeliling adalah orang yang tidak mensyukuri nikmat masa yang dianugerahkan oleh Allah. Orang yang mensia-siakan waktu sangat dibenci oleh Allah. Pepatah arab ada mengatakan “Waktu itu seperti pedang. Jika kamu tidak memotongnya dia akan memotong kamu.”

Pengurusan Masa

Masa terlalu berharga. Penggunaan masa hari ini akan menentukan corak masa depan kita. Ramai orang yang berjaya memperlihatkan ciri yang serupa iaitu bijak menggunakan masa. Kita harus sedar bahawa mengurus masa memerlukan kemahiran serta amalan dan ia boleh dipraktikkan. Semua orang mempunyai 24 jam sahaja bagi satu hari, tetapi perlu diagihkan untuk rehat, belajar atau kerja, tidur,makan, minum,riadah,hiburan, dan sebagainya.
Pengurusan masa meliputi corak penggunaan masa yang berkesan seperti menyusun keutamaan, tegasdiri dalam penggunaan masa, memberi tumpuan kepada perkara penting merancang, mengurus perlakuan berlengah dan lain-lain lagi. Ini merupakan satu bentuk perlaburan yang kecil tetapi boleh menghasilkan satu pulangan yang besar. Di antara strategi pengurusan masa yang boleh dipraktikkan ialah:-
 Membahagikan tugas atau kerja yang sukar kepada bentuk tugasan yang lebih kecil supaya lebih mudah dikendalikan
 Membuat jadual waktu mingguan
 Menentukan keutamaan
 Mengenalpasti masa dimana individu sangat bertenaga
 Membuat jadual waktu jangkamasa panjang.
 Menganalisa dan menyemak semula jadual
 Menyedia senarai semak
 Membuang tabiat berlengah-lengah.

Jadual Waktu
Setiap mukmin sewajarnyalah menyediakan jadual waktu kerja harian degan tersusun, sama ada tugas yang berhubung dengan keduniaan ataupun akhirat,supaya jangan perkara yang tidak perlu menjadi perkara yang utama untuk dilaksanakan. Pekerjaan yang perlu diselesaikan dengan segera, perlu disegerakan manakala yang tidak perlu boleh dilewatkan hingga selesai urusan yang penting. Betapa wajarnya setiap manusia membahagikan masanya. Golongan yang menghargai masa kelihatan lebih terurus jika dibandingkan mereka yang tidak menghargai masa. Sebagai seorang pelajar Islam perlu ada jadual waktu harian supaya perjalanan hidup lebih teratur dan sempurna. Berikut dicadangkan pelan masa seorang pelajar Islam sehari semalam bagi hari persekolahan.

MASA AKTIVITI
5.00 Pagi Bangun Tidur, solat tahajjud, solat Subuh
6.00 Pagi Riadah ringan, bersih diri, sarapan
7.20 Pagi
1.30 Petang Berada di sekolah
1.40 – 3.00 Ptg Solat Zohor, makan tengahari, rehat
3.00 – 6.00 Ptg Menyiapkan tugasan, solat Asar, baca Quran, riadah
6.00 – 9.00
mlm Bersihkan diri, makan malam, solat Maghrib, rehat (bersama keluarga), solat Isyak
9.00 – 11.00
mlm Ulangkaji pelajaran, muhasabah diri, tidur

Jadual waktu yang kemas dan teratur belum dapat memastikan kejayaan cemerlang seseorang individu itu dalam kehidupannya. Kerana jadual waktu ini perlu diikuti berdasarkan keperluan semasa beserta komitmen yang tinggi.

Amalan Sepanjang Masa
Masa yang berlalu semoga mendatangkan pengajaran dan peringatan, disamping menyambut ketibaan hari-hari yang akan kunjung datang dengan persediaan dan bekalan yang disediakan. Kita sebagai orang mukmin sewajarnya bersikap sedemikian, bagaimana yang difirmankan oleh Allah maksudNya:
“Wahai orang-orang yang beriman takutlah kamu kepada Allah dan takutlah perhitungan untuk menyahut kedatangan hari esoknya”
Surah al-Haj:Ayat 18
Seterusnya dalam suasana biasa yang kita hidup ini pun amat penting diberi perhatian tertentu supaya masa yang ada dapat direbut peluang itu sebelum ianya pergi menghilang.
Di dalam kitab al-Ihya Imam al-Ghazali ada menyebut, masa itu terbahagi kepada tiga:-
i. Masa yang berlalu. Seorang hamba jangan mengeji masa, biar pun pada masa itu dia berada di dalam kepayahan atau kesenangan.
ii. Masa akan datang belum kunjung tiba. Tiada seorang hamba pun tahu, apakah ia akan terus hidup atau akan mati? Tidak seorang hamba pun tahu akan qada’ Allah pada masa itu.
iii. Masa sekarang seorang itu perlu berusaha dengan sedaya upaya mengingati Allah S.W.T. kerana jika masa berikutnya tidak lagi kunjung tiba, maka dia tidak lagi merasa kecewa. Jika dia masih berpeluang hidup, dia tetap melaksanakan tugasnya seperti masa-masa yang sudah.Keazaman untuk mengingati Allah biarlah berpanjangan kerana dia sendiri tidak tahu bahawa sampai separuh umur dia telah menghembuskan nafas yang terakhir.Apabila ambang ajal menjelma tiba, janganlah benci menemui mati walau dalam keadaan apa sekalipun.
Dijelaskan dalam sepotong hadis yang bermaksud:
“Sewajarlah setiap yang berakal selagi akal fikirannya tidak hilang bahawa dia membahagi-bahagikan masanya kepada empat bahagian:-
i. Waktu untuk dia bermunajat (berzikir) kepada Allah
ii. Waktu untuk dia bermuhasabah (menghisab diri)
iii. Waktu untuk dia berfikir berhubung dengan alam ciptaan Allah.
iv. Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluan hidupnya seperti makanan dan minuman
Semua masa yang disebutkan itu dapat membantu untuk menghadapi masa-masa yang seterusnya. Jika masa-masa ini dipergunakan dengan betul kita akan dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Seorang penyair Arab telah berpesan dalam syairnya:-
Masa pasti menyusur pergi,
Masa yang dahulu menjadi saksi,
Sehari yang berlalu pergi,
Ke atas kamu dia menyaksi,
Jika semalam kau kesali,
Kerana menghinanya diri sendiri
Hari ini berbuatlah bakti
Agar mu orang yang terpuji.
Usah ditangguh amal bakti
Ke hari yang belum dikenal pasti
Mungkin hari menjengah ke mari
Kamu pula telah kembali
Di hari kau mengatur strategi
Sebarang tuah datang mendekati
Hari tetap berlalu pergi
Yang pergi tidak akan kembali

Setiap yang hidup wajiblah memberi sumbangan kepada orang lain di dalam menjalani kehidupan ini. Rasulullah sendiri menyuruh umatnya supaya terus bekerja di dunia ini, hinggalah ke akhir hayat mereka. Galakan Rasulullah seperti ini terdapat di dalam sabdanya yang bermaksud:-
“ Jikapun berlaku qiamat, ditangan kamu di masa itu ada sepohon benih kurma, maka kamu masih lagi berkesempatan untuk menanamnya, maka hendaklah kamu menanamnya”

Saidina Umar al-Khattab ada berkata. “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab, timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang.”
Setiap manusia yang selalu bermuhasabah diri besar kemungkinan dirinya akan bertambah baik dari masa ke semasa kerana dia akan dapat mengawal diri dari godaan dan tarikan hawa nafsu jahat.

Pembaziran Masa
Memandangkan kepada pengalaman yang ditunjukkan oleh generasi Salaf as-Salleh (ulama terdahulu) sangat mengutamakan masa ,bagaikan menjaga lebih dari barang yang berharga ,tetapi alangkah sedih bila kita melihat umat Islam dewasa ini terlalu mensia-siakan masa. Pembaziran masa di kalangan generasi muda hari ini berlaku dengan berleluasa.

Sebenarnya kita kurang menyedari bahawa ketidak matangan kita dalam menguruskan masa dianggap lebih merbahaya daripada ketidak matangan menguruskan hartabenda, kesan daripada itu adalah menunjukkan bahawa kehilangan harta dan wang ringgit boleh dicari ganti,tetapi kehilangan masa tidak dapat dicari ganti.

Buang masa merupakan suatu perkataan yang sering kali disebut orang atau pun dengan ungkapan perbualan kosong ,di kedai-kedai kopi dengan duduk berjam-jam lamanya di meja-meja catur atau bermain daun-daun pakau dan yang terkini ialah anak-anak remaja yang menghabiskan masa di Cyber Cafe yang sememangnya menjuruskan mereka kepada pembaziran masa. Tabiat suka membuang masa ini akan merugikan diri sendiri, kerana sesuatu umat itu tidak akan berjaya sekiranya tabiat ini menjadi darah daging ahli masyarakat.

Kesimpulan

Dalam mengharungi kehidupan ini kita tidak terlepas samada secara sedar atau tidak sedar kita tetap bersama dan tidak boleh dipisahkan dengan masa ,mahu pun masa itu berfokuskan kepada umur/usia atau berbentuk saat,minit,jam,hari,bulan dan tahun sekali pun siang atau malam.
Bagi kita insan yang telah dikurniakan oleh Allah akal dan pemikiran tidak boleh tidak mesti ada daya upaya untuk menguruskan masa hidup kita bagi mencanai kehidupan yang merupakan sebagai hamba Allah yang samada ianya bergelar ibu bapa,anak,adik kakak,remaja,dewasa dan tua muda semuanya pasti akan meredah dan diredahi masa.
Manusia pasti akan menghadapi kejayaan dan kegagalan ,keuntungan dan juga kerugian dalam kehidupannya,mereka akan mengalami kerugian dan kekecewaan jika usia dan saat ketika yang ada padanya berlalu begitu sahaja tanpa pengisian.Seperti, usia remaja sebagai pelajar tidak dipergunakan untuk belajar bersungguh-sungguh. Usia tua tidak dipergunakan untuk beribadat dan bertaubat sebanyak-banyaknya.
Kita juga sudah pasti akan mendapat keuntungan dan kejayaan sepanjang usia dan kehidupan jika masa remaja dipergunakan dengan sebaik-baik walau pun dalam kepayahan,seperti kata pepatah; “Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ketepian,Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian “




RUANGAN PETUA / AMALAN PEMAKANAN

Muqaddimah

Menjaga kesihatan menjadi tanggungjawab setiap individu muslim. Aqal yang sihat itu datangnya daripada tubuh badan yang sihat. Penjagaan kesihatan berhubung kait dengan amalan pemakanan minuman dan senaman. Makanan dan minuman merupakan unsur yang penting dalam menjaga kesihatan. Sebagai hamba Allah kita perlu menjaga makanan dan minuman dari sumber yang halal dan syubhah di samping mengutamakan pemakanan yang berzat dan seimbang. Dalam menimba ilmu pengetahuan setiap pelajar perlu memelihara adab dan kandungan makanan yang hendak diambil bagi memastikan daya ingatan kuat dan sempurna.

Amalan Pemakanan

Antara petunjuk nabi SAW dalam cara makan, ialah menjaga diri dan, melarang diri dari terlalu banyak makan dan minum dari kadar yang perlu. Imam Ahmad at-Tarmizi telah meriwayatkan dari Rasulullah S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud:
“Tiada yang dipenuhi anak Adam satu bekas yang lebih merbahaya dari perutnya. Memadailah anak adam itu beberapa suap makanan yang akan menegakkan punggungnya. Kiranya mesti dilakukannya, maka biarlah sepertiga untuk makanannya,sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi penafasan”

Dari petunjuk nabi SAW dalam cara minum iaitu, minum dengan dua teguk dua teguk atau tiga teguk tiga teguk. Baginda melarang bernafas dalam gelas dan juga melarang minum berdiri. Melalui sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Jangan kamu minum sekali gus seperti binatang minum, akan tetapi minumlah dua teguk, dua teguk dan tiga teguk,tiga teguk dan bacalah bismillah jika kamu minum, dan bacalah alhamdulillah jika kamu habis minum”.
Dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan daripada Abu Qatadah Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Bahawasanya Nabi SAW telah melarang untuk bernafas di dalam gelas dan di dalam” riwayat at-Tarmizi pula nabi SAW telah melarang untuk bernafas di dalam gelas, atau pun menghembus di dalamnya.
Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah telah bersabda: “Janganlah seseorang daripada kamu minum berdiri, barang siapa yang telah lupa, hendaklah dia memuntahkannya.

Menjauhi Makanan Yang Memudharatkan
Selain daripada tidak memakan makanan yang haram, kita perlu menjauhkan diri daripada mengambil makanan yang boleh memudharatkan seperti memakan makanan yang mengandungi pewarna, perasa yang merbahaya seperti makanan ringan.( Junck Food).
Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda: “Tiada mudharat dan tiada memudharatkan”
Memakan sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum dibasuh boleh mengakibatkan penyakit. Oleh itu kita hendaklah membiasakan diri tidak memakan sayur-sayuran dan buah-buahan melainkan sesudah dibasuh terlebih dahulu. Sekiranya makan terlalu banyak boleh menyebabkan berbagai penyakit dalam perut, menyempitkan pernafasan dan menyukarkan penghadaman. Tindakan yang sewajarnya diambil ialah membiasakan diri makan mengikut waktu-waktu yang tertentu. Dalam ertikata yang lain kita makan secara berjadual.

Adab-adab Makan

 Membaca doa sebelum dan selepas makan
 Sewaktu hendak mengambil makanan gunakan tangan kanan
 Hendaklah mengambil makanan yang di hadapan terlebih dahulu
 Tidak makan sebelum orang lain makan sebaik-baiknya mendahului ibu bapa atau orang yang lebih tua.
 Apabila menghadapi makanan jangan bergaduh atau menangis
 Jangan menajamkan pandangan kepada orang lain yang sama lain yang sama-sama makan
 Sewaktu makan tidaklah tergopoh-gopoh, kunyahlah makanan dengan kenyang, sebaik-baiknya makanan dikunyah sebanyak 40 kali kunyah.
 Makanlah secara berjamaah ( berkeluarga )
 Membasuh kedua-dua tangan sehingga bersih sebelum makan.
 Dilarang menghina makanan,gelojoh dan membazir.
 Disunatkan bercakap perkara yang baik-baik dan elakkan daripada bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.
 Berhentilah makan sebelum kenyang.Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya;
“ Kami dalam keadaan tidak makan kecuali apabila lapar dan apabila kami
makan tidak pula sampai kenyang”
 Keburukan akibat kekenyangan.
1. Hilang rasa takut kepada Allah S.W.T.
2. Hilang rasa belas kasihan terhadap orang dan makhluk lain kerana menganggap bahawa orang lain adalah kenyang sepertinya juga.
3. Berat untuk melakukan ibadah kepada Allah.
4. Tidak memperolehi kehalusan jiwa ketika mendengar kata-kata nasihat.

Petua Tidak Mudah Menjadi Pelupa

 Elakkan makan kepala ikan
 Elakkan minum semasa makan
 Elakkan minum atau makan makanana yang tercemar dengan semut
 Elakkan makan sehingga menjadi terlalu kenyang
 Amalkan makan kismis, kurma, madu, makanan kacang soya dan buah badam

Petua Untuk Menyihatkan Fizikal Dan Minda
 Selalu menghidu bau-bauan yang wangi
 Memakan makanan yang manis
 Makan daging
 Minum madu lebah asli yang diisikan ke dalam air sejuk
 Sentiasa meminum air lebihan / baki dari wuduk
 Mandi dalam keadaan perut yang sederhana, tidak terlalu lapar atau terlalu kenyang
 Minum segelas air dengan 3 kali minum


Amalan-amalan yang boleh merosakkan tubuh badan
Mandi setelah selesai makan
Makan terlalu banyak
Banyak makan makanan yang masam
Hendaklah berjalan sekuarang-kurang 40 langkah sebelum tidur
Dilarang tidur terus selepas makan
Sebaik-baiknya hendaklah bersembahyang selepas makan supaya makanan mudah hadam.

Petua-Petua Mengubat Penyakit

1.Ubat sakit kepala
Ambil segenggam daun turi lada sebanyak 7 biji, bawang putih beberpa ulas, kemudian tumbuk kesemua nahan-nahan tersebut, sesudah halus bubuh 1 sudu besar cuka kemudian diperap.
Bubuhlah dikening mata anda, Insya’Allah akan sembuh segera

2.Bau mulut busuk
Ambil beberapa helai dauh sireh, ramaskannya di dalam air dan ambil airnya kemudian berkumur. Buatlah beberapa hari.

3.Bau Badan yang busuk
Ambil beberapa helai daun limau nipis yang masih muda tumbuk sehingga hancur, kemudian gentel-gentelkan kecil-kecil supaya mudah ditelan, telan 3 kali sehari.

Kesimpulan

Betapa indah dan telitinya Islam terhadap kepentingan pemakanan kepada umatnya sehingga peringatan demi peringatan dinyatakan oleh Allah dalam kitab suciNya al-Quran untuk menjamin kebaikan,,kebersihan dan kesihatan hambanNya sehingga kekuatan dan kemantapan dalam melaksanakan perintah Allah dapat ditunaikan dengan penuh rasa tanggung jawab dan teratur sehingga memperolehi keredaan dan ganjaran pahala daripada Allah..

HEHEHE...RASA BARU MASUK TADIKA....
HEHEHEH...TUP2 ANAK DAN TIGA ,,BINI DAH SATU..HEHEHEHEH

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...